22 Mac, 2010

Fathul Kalam

Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu,
Bertemu untuk mematuhi perintahMu,
Bersatu memikul beban dakwahMu,
Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu,
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya..
Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya yang sebenar..
Penuhkan piala hati ini dengan cahaya RabbaniMU yang tidak kunjung malap..
Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman dan keyakinan dan keindahan tawakal kepadaMu..
Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma'rifat pengetahuan sebenar tentangMu..
Jika Engkau mentaqdirkan mati,maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai syuhada dalam perjuangan agamaMu..
Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong...

21 Mac, 2010

Siri Fiqhul Jamaaei'

Ukhuwah Dan Adab Ikhtilaf Dalam Jamaah

Landaan serangan bertubi-tubi musuh-musuh Islam terhadap gerakan Islam di mana jua pun,tidak memberikan ruang lagi kepada mana-mana jamaah Islam untuk berlengah-lengah memperkukuhkan apa jua persiapn yang boleh memberikan mereka kekuatan.Hari ini gerakan Islam berada dalam period yang memerlukan mereka memberikan perhatian serius kepada usaha-usaha kemantapan jamaah samaada kemantapan fikrah dan ukhuwah serta kemantapan semangat dan kerohanian.

Sifat berlengah-lengah para pendokong gerakan Islam akan memberikan ruang yang cukup luas kepada musuh Islam menguasai gelanggang perjuangan yang menentukan hidup mati ini.Kita sudah tidak punya masa lagi untuk hanyut dalam kemanjaan,lemas dalam pertelingkahan dan perbalahan furu'iyyah,lalai dengan perbahasan-perbahasan ilmiah yang tidak menghasilkan apa-apa selain kelengahan bertindak.Kita tidak punya waktu lagi untuk melayan mereka yang gemarkan jidal,di sana musuh telah pun membunuh gerakan Islam satu persatu.Mereka telah membatai habis-habisan bumi ummat Islam.Ribuan pemuda Islam telah terkorban,ribuan ulama' telah disembelih,wanita-wanita muslimah telah diperkosa,anak-anak kecil dipersiat-siat perutnya,rumah-rumah Allah disimbah dengan air kencing mereka dan kitab-kitab Allah diinjak-injak dengan kaki-kaki mereka.Apakah dalam suasana sebegitu bisa kita bertelingkah dalam hal-hal yang remeh temeh,saling bertikam lidah dalam perkara yang sangat furu',saling bermasam muka dalam soal puas hati atau tidak puas hati,saling berjauh hati kerana berlainan pendekatan dakwah,saling tuduh menuduh antara satu sama lain lantaran kerana fitnah,adu domba dan syak wasangka.

Ya Akhi Karim...kalau begitu sikap kita,bermakna kita telah kalah sebelum kekalahan yang sebenar Kita telah tewas sebelum terjun ke gelanggang.Tangan yang sepatutnya mengenggam senjata yang dihunus ke arah musuh sebaliknya digunakan untuk menunding jari ke muka teman seperjuangan.Suara yang sepatutnya digunakan untuk melaungkan "AllahuAkbar" sebaliknya digunakan untuk melaungkan keangkuhan "Aku Yang Benar,Engkau Yang Salah".

Kalam ini,dengan langkah yang longlai tetapi penuh dengan harapan,hamba ini mengajak kita semua menyerahkan seluruh tenaga dan pemikiran kita kepada kerja-kerja dan tanggungjawab yang ada di hadapan kita.Mudah mudahan Allah merestui niat kita yang luhur demi jamaah dan perjuangan suci ini.Kepada Allah hamba gantungkan seluruh harapan moga-moga kalam ini dapat mempertautkan ukhuwah dan kesedaran jamaei kita yang mungkin telah dikoyakkan oleh musuh-musuh kita atau mungkin dengan kelalaian dan kejahilan kita sendiri.

Kita tidak boleh berlengah lagi untuk memperbetulkan segala kelemahan kita.Jangan biarkan nafsu ammarah kita membunuh gerakan Islam ini daripada dalam.Lemparkan segala kepentingan diri jika ianya akan membinasakan kesatuan jamaah yang suci ini.Tanpa pengorbanan dan ukhuwah,apalah ertinya jamaah ini dan tanpa jamaah perjuangan ini tidak akn sampai ke mana.Wallahua'lam..